Thursday, December 6, 2012
AL-KISAH TENTANG JODOH
Siapa jodoh
kita? Berapa banyak rezeki kita? Dan bila? Itu bukan kerja kita. Itu
ketentuan Allah. Milik kita hanya usaha. Jadi, berusahalah dengan
baik, Allah pasti tidak akan mengecewakan kita. Wajib menerima takdir
tidak menolak kewajiban untuk mentadbir.
"Dulu saya tidak pernah melihat
wajah bakal isteri saya," kata seorang abang yang sangat saya
hormati.
"Pelik tu
bang. Bagaimana jodoh abang diaturkan?"
"Ikut pilihan guru agama yang mengajar saya,"
jawabnya pendek.
"Mengapa
tidak mahu melihat wajahnya? Kan itu dibenarkan oleh syariat?
Barangkali sebab waktu itu tidak ada ruangan sosial seperti Facebook
dan Twitter?" gurau saya.
"Memang belum ada. Tetapi ada cara lain. Gambar dan cara-cara
yang lain ada, tetapi sebenarnya ada sebab lain..."
Dalam
diam, saya rasa hairan. Wajahnya saya tenung. Dia orang yang sangat
saya hormati. Sahsiah dan kepimpinannya sangat menawan hati. Tentu ada
sebab yang solid untuk dia bersikap demikian.
"Sebelum aktif sebagai aktivis Islam seperti
sekarang, saya pernah menjalin hubungan cinta. Dia teman lama sejak di
sekolah rendah lagi," jelasnya dengan tenang.
"Habis mengapa putus?"
"Kami putus kerana dia ada jalan
tersendiri. Saya ajak bersama saya dalam perjuangan Islam ini tetapi
dia selesa dengan gayanya. Lepas, bebas. Jadi kami berpisah setelah 10
tahun bercinta."
Wah, ini kisah cinta yang dramatik!
Saya tidak sangka sama sekali dia yang selama ini kelihatan begitu
iltizam, tegas dan berwibawa pernah melalui tragedi cinta.
Isteri
Amanah
"Itu kisah sebelumnya. Tetapi
bagaimana dengan kisah pertemuan dengan isteri abang sekarang?" kata
saya beralih kepada maksud asal pertanyaan.
"Setelah putus, abang terus pinta guru agama
carikan jodoh. Ingin fokus kepada gerakan dan amal Islami tanpa
diganggu gugat lagi oleh emosi cinta."
"Tetapi mengapa abang tidak mahu melihat bakal
isteri pilihan guru? Tidak dibenarkan?"
"Itu keputusan personal saya. Guru memberi
kebebasan. Mahu melihat dulu, silakan. Tidak mahu, tidak mengapa."
"Dan abang memilih untuk tidak
melihat. Kenapa?"
"Eh, kamu masih tegar dengan soalan asal? Begini, bekas kekasih abang
dulu sangat cantik. Abang takut perasaan abang diganggu oleh godaan
perbandingan. Takut-takut, bakal isteri tidak secantik kekasih lama.
Jadi abang tekad, nikah terus tanpa melihat wajahnya."
Saya
terkesima sebentar dan dengan pantas saya bertanya kembali, "Tetapi abang akan terpaksa juga
membuat perbandingan setelah bernikah bukan? Setelah nikah, abang akan
melihat wajahnya. Dan ketika itu mahu tak mahu godaan perbandingan
akan datang juga."
Sekali lagi dia senyum. Matanya
bersinar-sinar dengan keyakinan. Jauh di lubuk hati, saya mengakui, dia
memang bercakap dari hatinya.
"Amat jauh bezanya antara membandingkan wanita lain dengan
bakal wanita yang akan kita nikahi dengan wanita yang telah kita
nikahi..."
Pendek dia menjawabnya, namun terus menusuk ke hati
saya.
Tanpa saya pinta dia menyambung, "Apabila seorang wanita telah kita nikahi dengan
sah, dialah wanita yang diamanahkan oleh Allah untuk kita bimbing dan
pimpin menuju syurga. Nasib kita dunia dan akhirat sangat berkait rapat
dengannya. Dia adalah jodoh yang ditakdirkan buat kita. Dialah wanita
yang pasrah dan menyerah kepada kita atas nama Allah. Pada waktu itu,
bagaimanapun keadaan wajahnya, siapa pun dia, sudah menjadi soal
kedua."
Cantik
Itu Relatif dan Subjektif
"Abang tidak takut, kalau
tiba-tiba wajah atau keadaannya tidak serasi dengan cita rasa abang?
Maksudnya, er... er... kita masih manusia bukan?" saya menduga
hatinya.
Dia ketawa tiba-tiba.
"Ya, kita masih manusia. Tetapi kita bukan
sekadar manusia. Kita hamba Allah dan khalifah. Isteri ialah teman
kita untuk memikul amanah dua misi berat itu. Untuk melaksanakannya,
kita bukan hanya perlukan kecantikan seorang wanita, tetapi ilmunya,
akhlaknya, sifat pengorbanannya dan kesetiaannya."
"Jadi, untuk itu kecantikan tidak penting?"
"Semua yang datang daripada Allah ada
kebaikannya. Namun ingat, Allah lebih tahu apa yang baik untuk kita
berbanding kita sendiri. Sesiapa yang tekad menjadi hamba Allah dan
khalifah, pasti tidak akan dikecewakan-Nya. Orang yang baik berhak
mendapat yang baik, bukan begitu?"
"Bukan yang cantik?" jolok saya lagi.
"Cantik itu relatif dan sangat
subjektif. Beauty is in the eye of the beholder, bukankah begitu? Cita
rasa manusia tentang kecantikan tidak sama. Malah ia juga
berubah-ubah mengikut masa, usia dan keadaan. Tetapi yang baik itu
mutlak dan lebih kekal sifatnya," balasnya dengan yakin.
"Maksud abang?"
Dia
diam. Termenung sebentar. Mungkin mencari-cari bahasa kata untuk
menterjermahkan bahasa rasa.
"Kecantikan seorang wanita tidak sama tafsirannya. Orang budiman dan
beriman, menilai kecantikan kepada budi dan akhlak. Pemuja hedonisme
dan materialisme hanya fokus kepada kecantikan wajah dan daya tarikan
seksual."
Ketika saya ingin menyampuk, dia menambah lagi, "Cantik juga relatif mengikut
keadaan. Jelitawan sekalipun akan nampak hodoh dan membosankan apabila
asyik marah-marah dan merampus. Sebaliknya, wanita yang sederhana
sahaja wajahnya akan nampak manis apabila sentiasa tersenyum, sedia
membantu dan memahami hati suami."
"Ya, betul tu!" kata saya. Teringat betapa ada seorang
kenalan yang sering mengeluh tentang isterinya, "Sedap di mata tetapi sakit di hati..."
Wasilah
Memilih Jodoh
"Bagaimana sebaik selepas berkahwin? Tak terkilan?" ujar saya dengan
soalan nakal.
"Memang dari segi kecantikan, isteri abang sekarang
biasa-biasa sahaja."
"Maksudnya yang dulu lebih cantik?"
"Kamu
ni, fikirannya masih berkisar dan berlegar-legar di situ juga. Ingat,
yang biasa-biasa akan jadi luar biasa cantik apabila makin lama kita
bersama dengannya. Itulah pengalaman abang. Hari ke hari, kecantikan
isteri semakin terserlah. Entahlah, apa yang Allah ubah. Wajah itu
atau hati ini?"
Wah, dia seakan berfalsafah! Kata-katanya punya
maksud yang tersirat.
"Apa kaitannya dengan hati?" layan lagi.
Ingin saya terus mencungkil mutiara hikmah daripadanya.
"Kalau
hati kita indah, kita akan sentiasa melihat keindahan. Sebaliknya
kalau hati rosak, keindahan tidak akan ketara, sekalipun sudah tampak
di depan mata. Atau kita mungkin akan mudah bosan dengan apa yang ada
lalu mula mencari lagi. Percayalah, orang yang rosak hatinya akan
menjadi pemburu kecantikan yang fatamorgana!"
Jadi Orang Baik
dan Pilihan Orang Baik
'Ah, tentu dia bahagia kini!' bisik hati saya sendiri.
"Apa
panduan abang jika semua ini ingin saya tuliskan?"
"Pilihlah jodoh dengan dua cara.
Pertama, jadilah orang yang baik. Insya-Allah, kita akan mendapat jodoh
yang baik. Kedua, ikutlah pilihan orang yang baik. Orang yang baik
akan memilih yang baik untuk jadi pasangan hidup kita."
"Tapi bang, ramai yang menolak
kaedah kedua. Kata mereka, mana mungkin kita menyerahkan hak kita
memilih jodoh sendiri kepada ibu bapa, guru atau individu-individu
lain sekalipun mereka orang yang baik-baik."
"Tak mengapa. Kalau begitu, cuna
cara pertama, jadilah orang yang baik."
"Bukan mudah hendak menjadi orang yang baik. Ia satu
proses yang panjang dan sukar menentukan apakah kita sudah jadi orang
yang baik atau belum."
Abang tersenyum lantas berkata, "Kamu menyoal bagi pihak orang lain
bukan?"
Saya diam. Dalam senyap saya akui, inilah soalan
yang sering diajukan oleh para remaja di luar sana.
"Kedua-dua cara itu boleh
dijalankan serentak. Maksudnya, jika kita berusaha menjadi orang yang
baik, insya-Allah, Allah akan kurniakan kita jodoh yang baik melalui
pilihan orang baik. Ataupun kita berusaha menjadi orang yang baik
sambil mencari orang yang baik sebagai jodoh, dan nanti pilihan kita
itu direstui oleh orang yang baik!"
Wah, kedengaran
berbelit-belit ayatnya, namun jika diamati ada kebenarannya.
"Tetapi ada juga mereka yang
menolak pilihan orang yang baik bukan?"
"Kerana mereka bukan orang baik," jawabnya
pendek.
"Bukan, bukan
begitu. Bolehkah terjadi orang baik menolak pilihan orang yang baik?"
"Ya, tidak mengapa. Tetapi mereka
tetap menolaknya dengan cara yang baik. Itulah yang terjadi kepada
seorang wanita yang bertanyakan haknya untuk menerima atau menolak
jodoh yang dipilih oleh ibu bapanya kepada Rasulullah s.a.w."
"Apa hikmah di sebalik kisah itu
bang?"
"Kita boleh
melihat persoalan ini dari dua dimensi. Pertama, mungkin ada anak-anak
yang tidak baik menolak pilihan ibu bapa yang baik. Hikmahnya, Allah
tidak mengizinkan orang yang baik menjadi pasangan orang yang tidak
baik. Bukankah Allah telah berjanji, lelaki yang baik hanya untuk
wanita yang baik dan begitulah sebaliknya?"
Saya terdiam.
Benar-benar tenggelam dalam fikiran yang mendalam dengan luahan hikmah
itu.
Jodoh
Urusan Allah
"Dan mungkin juga anak itu orang
baik tetapi ibu bapanya yang tidak baik itu memilih calon yang tidak
baik sebagai pasangannya. Maka pada waktu itu syariat membenarkan si
anak menolak pilihan ibu bapanya. Ya, itulah kaedah Allah untuk
menyelamatkan orang baik daripada mendapat pasangan hidup yang jahat."
"Bagaimana pula jika anak itu baik,
dan ibu bapanya pun baik serta calon pilihan ibu bapanya juga baik,
tetapi urusan pernikahan masih terbengkalai. Apa maknanya?" tanya
saya inginkan penjelasan muktamad.
"Itulah takdir! Mungkin Allah menentukan 'orang baik' lain
sebagai jodohnya. Sementara orang baik yang dicadangkan itu telah
Allah tentukan dengan orang baik yang lain pula!"
Tiba-tiba saya teringat bagaimana Hafsah yang dicadangkan untuk
menjadi calon isteri Sayidina Abu Bakar oleh ayahnya Sayidina Umar
tetapi ditolak. Akhir Hafsah bernikah dengan Rasulullah s.a.w. Kebaikan
sentiasa berlegar-legar dalam kalangan orang yang baik!
"Jodoh itu urusan Allah. Sudah
dicatat sejak azali lagi. Tetapi prinsipnya tetap satu dan satu itulah
yang wajib kita fahami. Orang yang baik berhak mendapat jodoh yang
baik. Cuma sekali-sekala sahaja Allah menguji orang yang baik mendapat
pasangan hidup yang jahat seperti Nabi Lut mendapat isteri yang jahat
dan Asiyah yang bersuamikan Firaun laknatullah."
"Apa hikmahnya kes yang berlaku
sekali-sekala seperti itu?"
"Mungkin Allah hendak
meninggikan lagi darjah dan darjat orang baik ke tahap yang lebih
tinggi."
"Hikmah untuk
kita?"
"Jika
takdirnya pahit untuk kita, terimalah sebagai ubat. Katalah, kita
sudah berusaha menjadi orang yang baik dan kita telah pun bernikah
dengan pilihan orang yang baik, tetapi jika takdirnya pasangan kita
bermasalah... bersabarlah. Katakan pada diri bahawa itulah jalan yang
ditentukan oleh Allah untuk kita mendapat syurga. Maka rebutlah pahala
sabar dan redha seperti Nabi Lut dan Nabi Ayyub atau kesabaran seorang
isteri bernama Siti Asiah."
Tok, tok, tok. Tiba-tiba pintu
bilik tulis saya diketuk. Wajah watak "abang bayangan" saya pergi
tiba-tiba. Tersedar saya daripada lamunan yang panjang.
Wajah
isteri terserlah di sebalik pintu. Sebalik melihatnya terdetak dalam
hati sendiri, apakah aku telah menjadi insan yang baik untuk
memperbaikinya?
Ah, hati dilanda bimbang mengingatkan makna satu
ungkapan yang pernah saya tulis dahulu:
"Yang penting bukan siapa isterimu semasa kau
nikahinya, tetapi siapa dia setelah menikah denganmu. Jadi, janji
Allah tentang lelaki yang baik untuk wanita yang baik bukan hanya
berlaku pada awal pernikahan, tetapi di pertengahannya, penghujungnya
malah sepanjang jalan menuju syurga!"
~edited from http://sekilasmemoir.blogspot.com/2011/03/al-kisah-tentang-jodoh.html~
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment